Pages

Friday 26 February 2016

Rayuan Musim Lent 2016

Selain orang miskin yang dibantu oleh CWS dan Persatuan St Vincent de Paul setiap tahun, bencana alam seperti gempa bumi dan banjir di pelbagai tempat di dunia telah menyebabkan ramai orang menjadi mangsa-mangsa yang memerlukan bantuan, terutamanya untuk membina rumah mereka yang rosak atau musnah.

Rayuan luar biasa bagi bantuan untuk mangsa-mangsa ini telah menerima sambutan yang baik; namun rayuan ini dibuat pada tahap minimum agar tidak terlalu membebankan jemaat. Pada Tahun Kerahiman ini, rayuan Musim Lent diharap dapat mengumpul jauh lebih banyak lagi dana berbanding pada masa lalu untuk membolehkan CWS menghulurkan bantuan kepada mangsa bencana alam.

Pada Tahun Kerahiman ini, seruan untuk “berbelaskasihan seperti Bapa syurgawi” (Lukas 6:36) bergema dengan jelas sekali. Sememangnya, kos sara hidup yang semakin tinggi sekarang disebabkan oleh beberapa faktor ekonomi telah meletakkan beban yang lebih berat ke atas rakyat.

Walaupun demikian, Tuhan merayu kepada hati kita yang berbelaskasihan untuk berkongsi dengan murah hati walaupun dalam kemiskinan kita. Sambutan kita yang positif akan diberkati oleh Allah untuk menghasilkan kesan yang kita baca dalam mukjizat yang diceritakan di dalam Markus 6:34-44 di mana, dengan lima buku roti dan dua ekor ikan yang diberikan oleh rasul-rasul, Yesus memberi makanan kepada lima ribu orang lelaki dengan bakinya memenuhi dua belas buah raga.

Sama seperti rasul-rasul sendiri mendapat keuntungan daripada mukjizat ini – yang pasti daripada sisa makanan tadi – demikian juga kita sendiri akan menerima berkat yang melimpah daripada Tuhan di atas kemurahan hati kita yang berkongsi dengan golongan yang tidak berada dan memerlukan bantuan.

Lebih penting lagi, apabila Tuhan Yesus kembali pada akhir zaman untuk membawa kita ke dalam kerajaanNya, kita akan layak untuk mengikutiNya berdasarkan penilaianNya: “Seperti kamu melakukannya kepada salah seorang saudaraKu yang paling rendah ini, kamu telah melakukannya kepadaKu”(Matius 25:40).

Selamat memberi dengan gembira dan Allah memberkati.

Uskup Agung John Ha

Rayuan Musim Lent 2016 dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina.

No comments:

Post a Comment